
Titah Yang Di Pertuan Agong ketika merasmikan Penggal ke 3, Sidang Parlimen ke 12 minggu lalu adalah meminta ahli parlimen menunjukkan sifat dan perilaku terpuji sebagai wakil rakyat ketika di Dewan Rakyat.
Namun ingatan Tuanku Mirzan Zainal Abidin sejak tiga penggal berturut-turut tidak dipedulikan ahli-ahli parlimen terutama barisan pembangkang yang sanggup menimbulkan kekecohan walaupun berbahas isu kecil.
Itulah yang berlaku Isnin, apabila kira-kira 70 minit masa perbahasan dihabiskan dengan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang gara-gara isu 1Malaysia ditiru slogan 1Israel serta meleret soal ‘anak jantan dan anak betina’.
Insiden bermula kira-kira jam 11.35 pagi apabila ahli parlimen BN Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan menggunakan peraturan Dewan menyatakan bawah perkara 37 (1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat.
Beliau meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menimbulkan dakwaan itu ketika membahas usul menjunjung kasih Yang DiPertuan Agong pada 17 Mac lalu menjelaskan hal tersebut.
Abdul Rahman membangkitkan soal hak dan tertib mesyuarat serta meminta ahli parlimen Permatang Pauh memberikan penjelasan kerana kenyataan yang memalukan dewan itu setelah APCO Worldwide, perunding yang dikaitkan menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan perkara itu
Tindakan itu menimbulkan bantahan wakil-wakil pembangkang dan cuba menghalangnya berhujah malah ahli parlimen DAP Ipoh Timur Lim Kit Siang berkata Abdul Rahman tidak sepatutnya dibenarkan meneruskan hujahnya kerana beliau berdiri tanpa notis.
Beliau turut meminta supaya hujah Abdul Rahman dikeluarkan daripada hansard.
Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, menegur tindakan ahli-ahli parlimen pembangkang dan meminta Abdul Rahman terus berhujah.
Pertelingkahan yang berlaku hampir 25 minit itu akhirnya reda apabila Timbalan Speaker berkata, Anwar perlu hadir ke dewan memohon maaf dan menjawab kembali dakwaan yang dibuat terhadap kerajaan minggu lalu.
“Yang Berhormat Permatang Pauh diberi tempoh seminggu untuk membuat permohonan maaf atau menarik semula kenyataan. Jika tidak barulah YB akan dirujuk ke Jawatankuasa Kebebasan dan Keistimewaan Parlimen,” katanya.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memaklumkan bahawa kerajaan memandang serius isu tersebut.
"Memandangkan Yang Berhormat Permatang Pauh tidak hadir, kita beri masa seminggu untuk beliau perbetulkan,” katanya.
Ahli Parlimen PKR Machang, Saifuddin Nasution Ismail kembali mencetuskan kekecohan apabila menggunakan cara sama dengan Abdul Rahman dan mendakwa Nazri semasa menggulung perbahasan Sidang Bajet 2009 dalam isu tuntutan royalti minyak melakukan ‘miss-leading’ menggunakan undang-undang yang sudah dibatalkan sebagai hujah.
Dalam erti kata lain beliau menuduh Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas menipu dalam hujah jawapannya bagi menolak pemberian royalti kepada Kelantan.
Beberapa wakil rakyat pembangkang, antaranya, Gobalakrishan (PKR–Padang Serai) , Yusmadi Yusof (PKR-Balik Pulau), Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) bangun dan mencelah sehingga menimbulkan suasana tegang dalam dewan.
Mereka meminta Nazri menjelaskan perkara itu atau dirujuk kepada Jawatankuasa Kebebasan dan Keistimewaan Parlimen,
Tindakan ahli parlimen pembangkang itu semata-mata mahu mempertahankan Anwar yang dikenakan dakwaan serupa.
Keadaan semakin tegang apabila mereka meminta Nazri meminta maaf kerana ‘miss-leading’ yang dilakukan itu.
Nazri akhirnya bangun menjelaskan dakwaan itu tetapi mencetuskan satu lagi kekecohan apabila menggunakan perberbandingan jantan dan betina dalam jawapannya.
"Saya anak jantan, mengaku salah. Sudah tentu yang saya sebut dalam perbahasan saya berdasarkan jawapan yang mengelirukan. Saya rela disiasat, saya anak jantan, saya mengaku bersalah. anak betina di sana saya tidak tahu kenapa, takut sangat disiasat," katanya.
Jawapan spontan itu mendapat bantahan daripada daripada wakil-wakil wanita pembangkang yang menyifatkan ucapan Nazri itu bersifat seksis.
Berbalik dakwaan terhadap Anwar, jika beliau didapati bersalah, Ketua Pembangkang itu boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen untuk jangka masa yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.
Pertikaman lidah lebih sejam itu juga menyebabkan ahli parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali menghentak meja dan melayang kertas nota ucapannya kerana kekecohan itu mencuri masa beliau yang sepatutnya meneruskan perbahasan menjunjung kasih titah Yang diPertuan Agong.
Sebilangan besar ahli parlimen pembangkang turut keluar Dewan kerana tidak berpuashati dengan kekecohan itu ketika Ibrahim meneruskan perbahasan